Sasterawan Negara milik Rahman Shaari

Iklan
Rahman

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Penyair terkemuka, Datuk Rahman Shaari dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di kementeriannya pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, anugerah tersebut dikurniakan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan yang cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

"Pemilihan tokoh ini dibuat berdasarkan sumbangan melalui karya dan pemikiran, pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera, impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang telah diterima," katanya.

Iklan

Beliau berkata, sebanyak 12 nama dihantar oleh persatuan, institusi, individu berwibawa, manakala tiga calon disenarai pendek oleh sembilan panel yang menilai.

"Panel telah mengadakan mesyuarat penilaian dan meneliti sumbangan serta kekuatan calon, akhirnya Rahman dipilih," katanya.

Iklan

Mohd Radzi berkata, kekuatan Rahman adalah dalam genre puisi yang sarat dengan pemikiran serta memerlukan pentafsiran mendalam.

"Rahman menekuni semua genre sastera termasuklah puisi, drama, cerpen, novel dan kritikan sastera.

"Beliau juga mempelopori Teori Anjakan Makna selain memperkenalkan teknik persembahan puisi artistik," katanya.

Tambah Mohd Radzi, majlis pengurniaan anugerah tersebut akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Rahman atas pemilihan ini," katanya.

Menurut beliau, penghargaan dan penghormatan negara akan diberikan kepada Rahman antaranya Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000, penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau harga berjumlah RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi.

Rahman yang juga Presiden Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) turut menerima kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu mana-mana hospital kerajaan selain elaun sara hidup RM5,000 sebulan.

Sementara itu, Mohd Radzi menafikan wujud campur tangan menteri di dalam pemilihan anugerah tersebut.

"Itu menteri dulu... Menteri kali ini tidak ada campur tangan. Saya hormati kepakaran semua ahli-ahli panel dalam memilih, melihat dan mengkaji pelbagai bentuk karya yang telah dikeluarkan oleh calon-calon.

"Semua gembira dengan keputusan dibuat dan secara peribadi saya setuju," katanya.