Saarani beri keterangan lima jam kepada SPRM

Iklan
Saarani menunjukkan salinan akuan bersumpah yang dibuat lima wakil rakyat Umno pada sidang media di Bangunan Umno Perak, hari ini.
IPOH - Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad memberi keterangan lebih lima jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Dalam keterangan di bilik saksi berakhir jam 8 malam itu, beliau diminta untuk mengesahkan satu persatu setiap kandungan akuan bersumpah yang dibuat lima Adun Umno berhubung gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak oleh seorang Exco Kerajaan Negeri.

Saarani berkata, selain mengambil keterangan, SPRM turut mengambil salinan asal setiap akuan bersumpah yang dibuat kelima-lima wakil rakyatnya.

Menurutnya, lima Adun berkenaan dalam akuan bersumpahnya mempunyai persamaan dalam tiga perkara hasil pertemuan bersama Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari iaitu menyebutkan kelemahan menteri besar, sokongan yang diperolehi daripada wakil rakyat DAP, Amanah dan PKR serta tandatangan yang diperolehi daripada Adun Umno itu akan digunakan bagi tujuan sokongan menjadikannya sebagai menteri besar.

"Isi kandungan kepada akuan bersumpah ini saya tidak boleh jelaskan, cuma saya boleh sebutkan lima Adun dalam akuan bersumpahnya punya persamaan dalam tiga perkara ini, jadi jelaslah pada kita ada gerakan untuk menjatuhkan menteri besar.

"Soal dia (Abdul Aziz) mengaku atau tidak mengaku itu perkara lain, soal menteri besar mahu percaya atau anggap ini satu perkara bohong dan provokasi daripada BN dan Umno, itu terpulanglah pada dia.

"Sejak awal saya sudah pun menasihatkan mereka berhati-hati, jika apa berlaku dalam PH, jangan salahkan BN kerana ia bukan bermula daripada Umno mahupun Pas, tetapi langkah dimulakan oleh Adun mereka sendiri," katanya.

Ditanya apa tindakan terbaik sepatutnya diambil kerajaan ketika ini, Adun Kota Tampan yang juga bekas Exco Kanan ini berkata, sekiranya seorang jurulatih pasukan bola sepak mendapati ada pemain cuba menjaringkan gol berkali-kali di gawang sendiri, seharusnya pemain itu dikeluarkan.

"Keputusan perlu dibuat dengan memberi keutamaan kepada rakyat bukan dalam suasana yang tidak menyeronokkan untuk menteri besar mentadbir.

"Jika sayalah jurulatih itu, saya akan keluarkan dan gantikan dengan pemain lain," katanya.