YAN - Gunung Jerai memiliki beberapa kelebihan untuk menjadi destinasi popular bagi sukan luncur udara yang sudah pastinya mampu menggamit kedatangan pelancong.
Dahulunya, Gunung Jerai hanya terkenal dengan hutan rimba yang dipenuhi dengan pokok, namun kini berpotensi muncul sebagai ‘syurga’ sukan luncur udara bukan saja di negara ini, malah di peringkat antarabangsa.
Mana tidaknya, kawasan ini mempunyai pelbagai ciri unik antaranya pemandangan sawah padi, kepelbagaian flora dan fauna dan sisi hutan yang menghijau serta lokasi menarik untuk melihat matahari terbenam.
Hanya memakan masa perjalanan kira-kira setengah jam dari kaki gunung dan seharusnya menjadi lokasi wajib untuk dikunjungi penggemar sukan luncur udara.
Presiden Kelab Luncur Udara Jerai (KLUJ), Anuar Omar yang berpengalaman dalam sukan luncur udara sudah pun berkunjung ke banyak negara, turut mengakui keistimewaan Gunung Jerai.
"Saya boleh katakan dari segi lokasi, Gunung Jerai sangat sesuai untuk sukan luncur udara yang menjadi produk pelancongan daerah ini," katanya ketika ditemui, kelmarin.
Menurut Anuar, sukan luncur udara Jerai dibuka pada Jun 2014 dan mula aktif sekitar 2016 selepas mendapat kelulusan tapak dari Jabatan perhutanan Kedah.
"Sukan luncur udara ini diselia sepenuhnya oleh KLUJ atau yang mana ahlinya terdiri daripada anak watan Kedah," katanya.
Dengan ketinggian 2,200 kaki, Gunung Jerai merupakan tempat luncur yang tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Anuar berkata, pergerakan KLUJ dipantau oleh Malaysian Sports Aviation Federation (MASF).
MASF bertindak memantau keseluruhan sukan yang menggunakan ruang udara dan mereka jugalah yang mengeluarkan lesen untuk penerbang luncur udara atau pilot paragliding melalui ujian teori dan amali yang disediakan.
Tambah Anuar, KLUJ juga pernah menganjurkan berbagai pertandingan dan 'fun fly' luncur udara semenjak di buka seperti Aidilfitri fun fly, Merdeka fly sempena menyambut hari kemerdekaan dan yang terbaru Fiesta Paragliding Geopark Jerai pada minggu lepas yang disertai lebih dari 60 pilot seluruh Malaysia, Singapura, Thailand dan Jerman.
Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Pelancongan dan Seni Budaya, Pembangunan Usahawan Negeri Kedah, Asmirul Aris berkata, kewujudan tapak sukan luncur ini sangat menarik.
Katanya, kewujudan sukan ekstrim seperti ini mampu memupuk minat dan mencari bakat baru bagi membolehkan kita berjaya ke peringkat antarabangsa.
Menurut Asmirul, ia dapat membuka mata dan memberi peluang kepada pihak komuniti dalam memperkenalkan Jerai kepada umum.
"Diharapkan apa yang dilakukan oleh pihak KLUJ dapat menjadi dorongan kepada kelab yang lain bagi memperbanyakkan aktiviti sukan udara di masa akan datang," katanya.
Tambah Asmirul, program ini boleh dijadikan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Kedah.
"Pihak kerajaan sedia membantu bagi memajukan tapak dan sukan luncur udara ini sehingga diiktiraf ke tahap antarabangsa.
"Kita mengalu-alukan warga Kedah khasnya dan warga Jerai amnya untuk sama-sama merealisasikan impian dan menjadikan sukan ini sebagai salah satu daya tarikan pelancong ke Kedah," katanya.