KUALA LUMPUR - Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kini sedang dalam rangka lawatan kerja ke Phnom Penh, Kemboja untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-16.
Mesyuarat sehari pada 22 Jun itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kemboja, Samdech Pichey Sena Tea Banh selaku Pengerusi ADMM 2022.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, mesyuarat itu merupakan satu platform yang signifikan untuk Menteri-menteri Pertahanan ASEAN mengukuhkan lagi semangat kebersamaan ASEAN khususnya dalam konteks kerjasama pertahanan di rantau ini.
Kehadiran Hishammuddin dan delegasi Malaysia ke ADMM ke-16 amat penting untuk membolehkan Malaysia bersama kesemua negara anggota ASEAN membincangkan serta memperhalusi isu-isu pertahanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Menurut kenyataan itu, sebagai sebahagian daripada ADMM ke-16, turut akan diadakan ialah Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-China dan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-Jepun.
Kedua-dua mesyuarat itu dijangkakan antara lain akan memfokuskan kepada usaha mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan serantau ASEAN-China dan ASEAN-Jepun.
Hishammuddin bersama Menteri-menteri Pertahanan ASEAN juga dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen selepas kedua-dua mesyuarat selesai.
Menurut kenyataan itu, walaupun mesyuarat hari ini melibatkan wakil Majlis Pentadbiran Negara (SAC) dari Myanmar, ini bukan bermakna Malaysia mengiktiraf SAC sebagai Kerajaan Myanmar yang sah.
"Malaysia sentiasa menekankan bahawa pihak SAC perlu segera melaksanakan perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Myanmar," menurut kenyataan itu.
Di samping itu, Hishammuddin juga telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Sena Tea Banh, semalam.
Antara yang dibincangkan ialah mengenai mempertingkatkan lagi kerjasama pertahanan dalam melaksanakan operasi pengaman di seluruh dunia khususnya, penglibatan tentera pengaman wanita di ASEAN.
Satu kesepakatan telah dicapai iaitu Kemboja akan menghantar tentera pengaman wanitanya ke Pusat Pengaman Malaysia di Port Dickson untuk menjalani latihan seterusnya meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam melaksanakan operasi pengaman. - Bernama