Peniaga bimbang terpaksa naikkan lagi harga makanan

Iklan
Zulkarnain menggoreng ayam di kedainya di Kangkar Tebrau, Johor Bahru, pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Peniaga makanan bimbang dan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg) mulai 1 Julai ini.

Mereka khuatir pemansuhan itu akan membuatkan harga minyak masak tidak terkawal dan menjadi mahal sekali gus akan menyukarkan mereka untuk menyerap kos kenaikan minyak masak dalam harga makanan.

Iklan
Iklan

Peniaga Kaka Food Station di Kangkar Tebrau di sini, Zulkarnain Abdul Mubin, 48, berkata, sekiranya harga minyak botol itu tidak dapat dikawal dan melambung, peniaga akan menerima kesan dan mungkin terpaksa menaikkan lagi harga makanan.

Biasanya kata Zulkarnain, peniaga kecil sepertinya tidak membeli minyak masak dalam kuantiti yang banyak dan hanya membelinya mengikut keperluan.

Iklan

"Minyak masak adalah satu barang keperluan penting untuk peniaga makanan seperti saya. Disebabkan kenaikan harga barang sebelum ini, saya terpaksa menaikkan harga nasi bajet yang dijual daripada RM6 sebelum ini menjadi RM7 sejak bulan lalu.

"Minyak masak ketika ini mencecah sehingga RM30 sekilogram dan ada ura-ura akan naik selepas ini sehingga RM40 sekilogram," katanya ditemui pemberita di kedainya, pada Rabu.

Iklan
Zulkarnain

Pemilik Kedai Razmah Nasi Rawan di Bangunan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic) di sini, Mohamad Izam Seran, 51, berkata, keputusan kerajaan itu akan menyukarkan peniaga makanan selepas harga ayam, tepung dan barang keperluan lain naik.

"Baru-baru saya sudah menaikkan harga makanan sebanyak 20 peratus kerana tidak boleh lagi bertahan dengan harga lama. Kenaikan harga makanan memang tidak boleh dielak.

"Sekiranya harga minyak pula naik susulan keputusan kerajaan ini, ini seakan menjerut leher peniaga. Peniaga pun bukan suka-suka naikkan harga makanan," katanya.

Mohamad Izam

Seorang lagi peniaga makanan di bangunan tersebut, Norizah Ismail, 56, memohon kerajaan mengekalkan subsidi tersebut demi untuk kesejahteraan rakyat kerana minyak masak antara barang keperluan utama.

Dia yang sudah lebih 20 tahu berniaga makanan berkata, ketika ini adalah waktu yang sukar kerana semua barang naik mendadak dan perkembangan itu seolah-olah langsung tidak dapat dikawal.

"Saya kesian kepada pelanggan jika menaikkan harga walaupun hanya RM1, rasa tak sampai hati. Ini membuatkan peniaga berada dalam keadaan dilema," katanya.

Norizah

Pada Selasa, kerajaan mengumumkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan dimansuhkan bermula 1 Julai ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, subsidi minyak masak peket satu kilogram masih diteruskan.