KOTA KINABALU - Anak gajah yang cedera akibat terkena jerat sehingga pergelangan kaki kanannya terpaksa dipotong dilaporkan mati pada petang Selasa.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, anak gajah betina berusia kurang dua tahun itu telah diberi rawatan sebaiknya selepas melalui proses pembedahan memotong kaki kanan hadapan pada Isnin.
"Selepas pembedahan, anak gajah itu juga telah menunjukkan perkembangan yang sangat baik. Ia kelihatan sihat malah makan dan minum seperti gajah sihat yang biasa.
"Bagaimanapun, pada keesokan harinya (Selasa), anak gajah itu kelihatan agak lemah dan tertekan. Rawatan dan pemberian ubat telah dilakukan dan anak gajah itu bertindak balas dengan baik.
"Namun pada sebelah petang, anak gajah itu telah rebah. Ia cuba untuk bangun tetapi rebah semula dan kira-kira jam 6.15 petang, anak gajah itu berhenti bernafas sebelum doktor veterinar yang merawat mengesahkan kematiannya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jafry berkata, bedah siasat terhadap anak gajah itu dilakukan pada pagi Rabu dan mendapati kematian berpunca daripada kegagalan organ dalam badannya.
"Kematian berpunca daripada kegagalan organ penting seperti jantung, paru-paru dan berlaku pendarahan pada saluran pemakanan di perut dan usus.
"Ia disebabkan jangkitan pada luka yang dialaminya sejak terkena jerat," jelasnya.
Beliau berkata, walaupun pegawai veterinar yang merawat haiwan itu melakukan yang terbaik namun ia akhirnya mati.
"Saya sangat sedih dengan keadaan anak gajah itu yang akhirnya mati dan saya berharap kecederaan sehingga menyebabkan kematian sebegini tidak berulang di masa hadapan.
"Saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat Sabah untuk sama-sama berusaha membendung kegiatan memasang jerat yang menyalahi undang-undang bagi mengelakkan kecederaan dan kematian kepada hidupan liar terutama haiwan terancam seperti gajah," katanya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan seekor anak gajah ditemui dalam keadaan cedera di bahagian kaki selepas terkena jerat dalam kejadian di Tungku, Lahad Datu pada Sabtu lalu.