Mintah dipinjamkan ke KL City

Iklan
Mintah dipinjamkan ke KL City bagi baki saingan Liga-M musim ini. - Foto Terengganu FC II

DESAS-desus mengenai penghijrahan penyerang import sensasi Terengganu FC ll (TFC ll), Jordan Mintah ke Kuala Lumpur City FC (KL City FC) akhirnya terjawab apabila pemain itu sah menjadi milik skuad The City Boys.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, penyandang Kasut Emas Liga Perdana musim lalu itu dipinjamkan bagi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, tertakluk kepada beberapa terma dan syarat dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Iklan
Iklan

"Antara terma dan syarat yang dipersetujui ialah Mintah tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) atau TFC ll sepanjang tempoh pinjaman.

"Selepas tempoh pinjaman berakhir pada 30 November ini, Mintah akan kembali bersama kami (TFC ll) kerana kontraknya masih berbaki sehingga 2023," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, Pengendali TFC ll, Badrul Afzan Razali berkata, ketiadaan penyerang utama kelahiran Ghana berusia 27 tahun itu bukan sahaja akan dirasai skuad The Turtles, malah peminat bola sepak Terengganu.

Bagaimanapun beliau tetap gembira kerana pemain tersebut berpeluang beraksi di pentas lebih tinggi iaitu Liga Super dan Piala AFC.

Iklan

"Saya akui ketiadaan Mintah sedikit sebanyak akan menjejaskan TFC ll. Tetapi kita juga tak kurang penyerang tempatan yang berbakat dan berpotensi untuk menggantikan tempatnya.

"Malah ketiadaan Mintah perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain muda untuk menonjolkan bakat dan mendapatkan lebih minit permainan," katanya. - BERNAMA