KUALA LUMPUR - Tepat jam 6.41 pagi waktu Malaysia, isyarat telemetri pertama daripada Measat-3d diterima, sekali gus menandakan pelancaran satelit itu berjaya sepenuhnya.
Detik bersejarah itu diumumkan di Dewan Merdeka, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini yang menjadi venue siaran langsung pelancaran satelit Measat-3d dari Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan pada jam 5.50 pagi waktu Malaysia (6.50 petang waktu tempatan 22 Jun).
Proses pemisahan pertama dari roket pelancar Ariane-5 berlaku pada jam 6.19 pagi waktu Malaysia dan pemisahan kedua pada 6.34 pagi sebelum isyarat pertama diterima oleh bumi tujuh minit kemudian.
Pelancaran satelit Measat-3d mengalami kelewatan 47 minit daripada jadual asal pada jam 5.03 pagi waktu Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama hampir 600 jemputan menyaksikan pelancaran satelit paling canggih itu di Dewan Merdeka. Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya, Datuk Zahidi Zainal Abidin serta beberapa menteri kabinet.
Satelit kelapan yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela). - Bernama