KULAI – Kira-kira 450 peserta dari 16 negara menyertai Desa Lestari Trail Run (DLTR) di Hutan Lipur Gunung Pulai 1 pada 13 April depan.
Pengerusi Koperasi Sri Sekawan Kulaijajaya Berhad, Jamalludin Abdul Hamid berkata, antara negara terlibat adalah China, Filipina, Rusia, Afrika Selatan, Vietnam, Perancis, Jerman, Amerika Syarikat dan Singapura.
Jelasnya, DLTR menerima sambutan memberangsangkan sejak penyertaan mula dibuka awal tahun ini menerusi media sosial.
"Acara ini diangkat sebagai program daerah Kulai sempena Hari Keputeraan Sultan Johor.
"Ia turut mendapat kerjasama pelbagai pihak seperti IRDA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia( SKM), Jabatan Perhutanan, Persatuan Belia Sekawan, Mata Management dan Southern Ultra,” katanya.
Jamalludin berkata, Hutan Lipur Gunung Pulai 1 merupakan lokasi paling sesuai kerana cabaran alam semula jadi yang unik dan menarik tidak terdapat di tempat lain.
Selain itu dapat mempromosikan Kampung Sri Gunung Pulai sekali gus mengangkat nama Kulai dan negeri ini sebagai lokasi pelancongan berlatarkan alam semula jadi.
"DLTR yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu 5km, 15km dan 30km akan dirasmikan oleh Senator Ir Md Nasir Hashim yang merupakan Ahli Dewan Negara merangkap Timbalan Pengerusi Bersatu negeri Johor.
"Peserta akan dilepaskan seawal jam 6 pagi dan acara perasmian bermula jam 11 pagi di Dewan Kampung Sri Gunung Pulai,” katanya.
Di samping itu, terdapat juga pelbagai acara lain turut diadakan seperti pertandingan mewarna, gubahan, sukan tradisional, senamrobik, gerai jualan dan kursus kemahiran bagi golongan belia.
"Sebanyak 10 khemah acara akan diletakkan di pekarangan Dewan Kampung Sri Gunung Pulai sepanjang acara berlangsung nanti,” katanya.