PETALING JAYA - Seorang remaja maut dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal di kilometer (km) 13.7, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang berusia 19 tahun itu maut di tempat kejadian.
"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan berkenaan kemalangan terbabit pada jam 7.01 petang.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan terbabas ke tengah jalan,"katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian dan saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 0193318339," ujarnya.