JERTIH - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada tahun ini memperuntukkan lebih RM43.5 juta bagi merancakkan lagi sektor pertanian Terengganu sekali gus memajukan industri agromakanan di negeri ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukan tersebut disalurkan kepada kerajaan negeri melalui pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI bagi pelaksanaan pelbagai projek, program dan inisiatif merentasi semua subsektor termasuk padi dan beras, perikanan, tanaman dan ternakan.
"Sektor agromakanan juga berdepan dengan pelbagai cabaran khususnya pascapandemik Covid-19 yang sedikit sebanyak mengganggu kelancaran dan kestabilan rantaian bekalan makanan negara. Dalam hal ini, kerajaan amat komited memastikan jaminan bekalan makanan negara kekal utuh melalui sinergi berterusan bersama kerajaan negeri.
"Justeru, kerjasama yang padu dengan Kerajaan Negeri Terengganu akan diteruskan bagi melaksanakan inisiatif yang dirancang dengan baik," katanya berucap pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternakan dan Nelayan Tahun 2022 Peringkat Negeri Terengganu oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.
Dalam pada itu, Ronald berkata, kerajaan melalui kerangka Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) sentiasa berusaha untuk mentransformasikan sektor agromakanan kepada sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.Sehubungan itu, beliau menyeru peladang, penternak dan nelayan terutama golongan muda agar menyokong usaha kerajaan untuk membawa teknologi moden seperti penggunaan Internet benda (IoT), pendigitalan, mekanisasi dan automasi dalam sektor agromakanan di era Revolusi Industri 4.0 bagi melonjakkan sektor tersebut ke satu dimensi yang lebih kompetitif, efektif dan berdaya saing.
Sementara itu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, 37 peratus tanah di Terengganu adalah dikhaskan untuk pertanian, namun masih terdapat 8,310.82 hektar tanah daripada jumlah tersebut yang masih belum diusahakan.
"Justeru, kerajaan negeri berhasrat penggunaan tanah dapat dioptimumkan melalui penglibatan syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan, petani, usahawan, belia dan golongan B40 dalam sektor pertanian," katanya. - Bernama