Kerja fleksibel: Pekerja boleh mohon kepada majikan

Iklan
Awang - Foto Bernama

ALOR SETAR - Pekerja yang mahu bekerja secara fleksibel di negara ini boleh memohon aturan kerja fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing di bawah pindaan Akta Kerja 1955 yang dijangka berkuat kuasa pada 1 September ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, permohonan tersebut perlu dibuat secara bertulis oleh pekerja melibatkan perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan juga perubahan tempat kerja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, majikan pula perlu memberikan jawapan dalam tempoh 60 hari sama ada menerima ataupun menolak permohonan berkenaan.

"Dalam surat jawapan bertulis majikan kepada pekerja,mereka perlu nyatakan sama ada menerima permohonan atau menolak permohonan dengan alasan yang perlu dinyatakan," katanya pada sidang akhbar mengulas pelaksanaan aturan kerja fleksibel di negara ini.

Iklan

Sebelum itu, Awang hadir merasmikan Simposium Keharmonian Perusahaan Wilayah Utara yang melibatkan negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak di Hotel Grand Alora, Alor Setar, dekat sini pada Khamis.

Awang (lima dari kanan) bersama penerima sijil pengiktirafan kepada wakil syarikat yang berjaya melaksanakan Productivity-Linked Wage System (PLWS) selepas merasmikan Simposium Keharmonian Perusahaan Wilayah Utara yang melibatkan negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak di Hotel Grand Alora, Alor Setar pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM), Khalid Jali.

Iklan

Mengulas lanjut, Awang berkata, pihaknya juga bersedia untuk melakukan kajian dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu di negara ini seperti yang telah dilaksanakan di beberapa negara maju.

Menurutnya, kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu melibatkan semua pihak seperti majikan yang mungkin terkesan disebabkan oleh produktiviti rendah.

"Keputusan kerajaan dalam AKF bagaimanapun tidak 'mengikat' majikan. Perkara ini bergantung kepada kesesuaian agensi dan syarikat masing-masing.

"Jadi majikan pun perlu ada kajian tersendiri mengenai perkara ini dan kemudian boleh dibawa dalam perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan JPPM," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu.

Perkara tersebut berdasarkan tinjauan oleh Qualtrics syarikat berpengalaman yang mengendalikan tinjauan secara dalam talian.