BENTONG - Kementerian Pengangkutan (MOT) diminta berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) demi memastikan harga tambang pengangkutan itu berpatutan dan tidak membebankan pengguna.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia perlu diberi perhatian berikutan terdapat pihak cuba menyebarkan fitnah seolah-olah tambang ECRL lebih tinggi berbanding harga tiket penerbangan.
Menurutnya, ia satu fitnah dan perlu mengambil serius isu tersebut.
"Projek ECRL dijangka beroperasi pada Jun 2027 dan ia akan menawarkan jalinan pengangkutan lebih moden, selamat dan efisien ke pantai timur.
"Jadi saya meminta Kementerian Pengangkutan berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang perkhidmatan ECRL yang amat berpatutan seperti kadar tambang perkhidmatan KTM ETS yang mesra rakyat," katanya lagi.
Beliau berkata sedemikian ketika ucapan sempena Majlis Perasmian permulaan pengorekan terowong ECRL dengan kaedah Mesin Pengorek Terowong di sini pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Pelancaran mesin pengorek terowong (TBM) pertama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekali gus menandakan bermulanya kerja pengorekan terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menyifatkan projek jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer bernilai RM50.27 bilion merentasi empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu merupakan satu pencapaian bersejarah negara.
Ujarnya, tahap kemajuan projek berimpak tinggi itu telah siap sebanyak 30 peratus sehingga Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026 seterusnya beroperasi pada 2027.
"Pembinaan terowong berkembar Genting ini adalah antara komponen utama Projek ECRL kerana ia dapat melengkapkan jambatan darat atau 'landbridge' bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang," katanya.
Pentauliahan mesin TBM pertama dengan diameter 8.98 meter itu merupakan satu lagi pencapaian penting bagi Projek ECRL memandangkan mesin canggih buatan China itu adalah yang terbesar bagi kerja-kerja rel di Asia Tenggara.
Mesin yang direka khas untuk kegunaan dalam keadaan batuan keras itu akan digunakan untuk menembusi Banjaran Titiwangsa di sepanjang kawasan Bukit Tinggi untuk menghubungkan Bentong di Pahang dengan Gombak di Selangor.
Pada kapasiti pengorekan purata antara 400 meter dan 600 meter sebulan, mesin dengan berat 1,600 tan dan sepanjang 266 meter itu dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun setengah hingga tiga tahun untuk melengkapkan penembusan Terowong Genting.
Situasi itu menjadikan terowong sepanjang 16.39 kilometer sebagai terowong rel terpanjang di Asia Tenggara apabila siap dibina kelak.