MARAN - Seorang pemandu van maut selepas kenderaan dipandunya melanggar sebuah lori di Kilometer 164.1, Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuantan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhamad Rozi Muhammad, 34, yang berasal dari Kampung Tualang Manir, Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa juga vendor akhbar yang memandu van jenis Toyota Hiace dari arah Banting menghala ke Kuantan untuk menghantar surat khabar.
"Setibanya di tempat kejadian, van dipandu gagal dikawal lalu terbabas lalu melanggar bahagian belakang lori jenis Volvo FM12.
"Akibat kemalangan tersebut pemandu meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk dilakukan bedah siasat," katanya di sini, hari ini.
Norzamri berkata, pemandu lori, K Prakash, 40, yang berasal dari Taman Rasah Jaya, Negeri Sembilan tidak mengalami apa-apa kecederaan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih lagi diteruskan oleh polis," katanya.