KUALA SELANGOR - Seorang penghantar barang maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta lalu tercampak atas bumbung kenderaan terbabit di Kilometer 50 Jalan Klang-Teluk Intan di sini pada Khamis.
Kemalangan jam 9.50 pagi itu mengakibatkan lelaki berusia 26 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, mangsa yang menunggang Yamaha Y15 bersendirian dari arah rumahnya di Kampung Tebuk Berihun, Sabak Bernam menuju ke Pulau Indah.
"Semasa kejadian sebuah Proton Saga dipandu wanita berusia 67 tahun dari arah bertentangan dipercayai tiba-tiba memasuki simpang di jalan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ramli berkata, mangsa yang berada di jalan lurus tidak sempat mengawal motosikal lalu merempuh pintu depan penumpang kereta tersebut.
"Rempuhan itu kemudian menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke atas bumbung kereta lalu meninggal dunia," ujarnya.
Jelas beliau, wanita yang cedera ringan di pinggang itu sempat diberhentikan oleh saksi bebas di lokasi kejadian.
Kata beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan awal mendapati lokasi tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar simpang tiga berkenaan," katanya.
Orang ramai ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Najmi Abd. Rahman di talian 017-8028105 atau balai polis berdekatan.
Sebelum ini tular sebuah video memaparkan keadaan mangsa terbaring tidak sedarkan diri atas bumbung sebuah kereta Saga akibat kemalangan berkenaan.