MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Melaka membenarkan pelaksanaan ibadah korban tahun ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih longgar.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, SOP yang akan diumumkan dalam masa terdekat itu nanti tidak menghadkan bilangan haiwan dan hari berbanding tahun lalu.
Menurutnya, ia termasuk membenarkan ibadah korban dilaksanakan di surau mahupun masjid yang mempunyai kemudahan sembelih serta kawasan terbuka, dan tidak hanya di rumah sembelihan terpilih.
"Keputusan itu telah dibuat dalam mesyuarat bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selaras dengan keadaan negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik Covid-19.
"Tahun lepas kita hanya benarkan lima ekor lembu sehari sepanjang empat hari ibadah korban, dan insya-ALLAH tiada halangan had aktiviti raya korban kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan harga barangan keperluan di Pasar Besar Melaka di Bachang di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Norena Jaafar.
Melaka pada tahun lalu hanya membenarkan ibadah korban dilakukan di rumah sembelihan terpilih dan tempat sembelihan sementara yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan pihak berkuasa agama negeri.
Bilangan dibenarkan dalam tempoh itu sebanyak lima ekor lembu serta kerbau dan 10 ekor bagi kambing atau biri-biri.