MELAKA - Seorang suri rumah buntu apabila gerai makan yang diusahakan bersama suaminya di tepi rumah di Taman Limbongan Permai di sini, dilanda ribut pada Rabu.
Norehan Nekmat, 35, berkata, disebabkan kejadian itu, dia tidak dapat berniaga seperti biasa lebih-lebih lagi dihimpit masalah kewangan menyukarkan untuk membeli khemah baharu.
Menurutnya, walaupun suaminya, Nizam Tamby, 49, mempunyai pendapatan tetap sebagai pembantu am rendah, namun selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, tahap kesihatan suami mula merosot dan tidak mampu melakukan kerja berat.
Jelasnya, akibat kemalangan itu, suaminya menderita sakit tulang pinggang, kerosakan usus, buah pinggang bengkak selain pendarahan pada bahagian belakang kepala serta darah tinggi.
"Suami juga terpaksa menanggung sakit tulang belakang dan telah menjalani pembedahan usus baru-baru ini.
"Dengan perbelanjaan keluarga serta lima anak masih bersekolah, sukar untuk saya membeli khemah baharu," katanya ketika dikunjungi Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) di Limbongan Permai di sini, pada Jumaat.
Norehan berkata, walaupun pulangan hasil berniaga tidak banyak, tetapi ia serba sedikit dapat menampung keperluan keluarga termasuk menyara kedua mentuanya yang sakit.
"Lagipun setiap kali ribut melanda, pasti khemah gerai kami rosak dan masuk ini sudah tiga kali terpaksa membeli khemah baharu," katanya.
Sementara itu, Presiden PSBM, Ashwad Abdul Rahim berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu membelikan khemah baharu setelah dimaklumkan mengenai kesusahan yang dihadapi suri rumah itu.
Menurutnya, usaha itu membolehkan mereka meneruskan kembali perniagaan makanan yang diusahakan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan keluarga.
"Dengan turun padang seperti ini kita dapat mengenal pasti bentuk bantuan atau keperluan lain yang boleh disalurkan seperti set rawatan tulang belakang untuk Nizam agar dia boleh menjalani urusan harian dengan selesa," katanya.