Korban banjir di Bangladesh cecah 68 orang

Iklan
Kawasan kediaman penduduk digenangi air, terutama di utara Mymensingh dan wilayah timur laut Sylhet. Foto Reuters
DHAKA - Angka korban akibat banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat di beberapa kawasan di Bangladesh meningkat kepada 68 orang, menurut laporan Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan dan Bilik Kawalan pada Khamis.

Kebanyakan maut akibat lemas tetapi sebahagian lagi disebabkan dipatuk ular dan disambar petir di kawasan yang dilanda banjir antara 17 Mei hingga 23 Jun tahun ini, lapor Xinhua.

Hujan berterusan menyebabkan kediaman, tanaman, jalan raya dan lebuh raya rosak teruk.

Kebanyakan kawasan digenangi air, terutama di utara Mymensingh dan wilayah timur laut Sylhet.

Menteri Pengurusan Bencana dan Bantuan, Md Enamur Rahman sebelum ini berkata, kedua-dua agensi kerajaan dan swasta negara itu bekerjasama menyalurkan bantuan di wilayah Sylhet yang mengalami banjir terburuk sejak tempoh 122 tahun. -Bernama