KUCHING - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sedang membangunkan baja baharu berasaskan arang yang terdapat dengan banyaknya di Mukah, kira-kira 566 kilometer utara dari sini.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, teknologi formulasi baja cecair dan perapi tanah itu mampu memberi impak besar dalam meringankan beban masyarakat petani di negeri ini berikutan kenaikan kos baja import.
"Sejak beberapa bulan lepas, kami cuba melihat apa yang boleh dilakukan susulan (kenaikan) harga baja. Dengan inovasi baharu yang kami peroleh menggunakan arang batu, saya menaruh harapan tinggi untuk melihat ia melengkapkan kekurangan yang ada pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program AgroInvest Sarawak 2022 anjuran MARDI pada Jumaat.
Beliau berkata, perkembangan lanjut termasuk penubuhan kilang baja di Mukah akan dapat dilihat sekurang-kurangnya dua tahun dari sekarang dan beliau akan mendapatkan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak untuk terlibat dalam pembangunan itu.
"Ia akan mengambil sedikit masa (untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) disiapkan) tetapi sekarang kita perlu usahakan dengan apa yang ada tetapi pada masa sama, cuba untuk melihat dan meneroka dengan lebih lagi,” katanya.
Rundi berkata, sudah tiba masanya untuk insentif berasaskan prestasi diberikan kepada komuniti pertanian dan bukannya meneruskan pemberian subsidi.
"Sebenarnya, mereka yang memerlukan khususnya petani, tidak boleh bergantung kepada subsidi atau insentif input. Kita juga mesti beralih kepada insentif berdasarkan prestasi. Lebih banyak anda hasilkan, lebih tinggi bantuan yang anda akan dapat,” katanya.
Beliau berkata, insentif pengeluaran akan mendorong orang ramai mengeluarkan hasil lebih banyak dan akhirnya membawa kepada penghasilan produk premium yang mempunyai nilai lebih tinggi daripada produk biasa.
Rundi berkata, kerajaan Sarawak memacu komuniti pertanian ke dalam pelan transformasi baharu yang mereka boleh menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri menjelang 2030."Kita perlu mengubah komuniti pertanian daripada pertanian sara diri kepada usahawan tani sehingga menjadi pengusaha industri tani,” katanya. -- Bernama