ALOR SETAR – Semua pihak terutama peniaga diminta tidak mengambil kesempatan susulan pemansuhan subsidi minyak masak botol dan harga siling ayam serta telur bermula pada 1 Julai ini.
Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata, peniaga perlu jujur dan amanah dalam menjalankan perniagaan tanpa mewujudkan elemen penindasan terutama kepada pembeli.
Iklan
Iklan
"Kita akur dan faham kesukaran dihadapi oleh rakyat dalam berbelanja ketika ini.
"Jadi, kita amat berharap terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa melakukan pemantauan ke atas harga barangan berkenaan," katanya pada Jumaat.
Beliau menyatakan tidak mahu rakyat tertekan dengan keadaan tersebut memandangkan selain pemansuhan subsidi, kos barangan lain turut meningkat.
"Sehubungan itu, sangat berharap kerajaan meneruskan pemberian bakul makanan agar golongan bersasar dapat menikmati pemberian kerajaan melalui ahli parlimen masing-masing,” katanya.
Sabri berkata, sekurang-kurangnya dengan pemberian bakul makanan itu dapat meringankan bebanan ditanggung rakyat.