Isu Batu Puteh: Tun M jangan dolak-dalik

Iklan
Mohd Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pemuda UMNO Johor berharap Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi memberi alasan atau berdolak dalih mengenai tindakannya membuat keputusan menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh.

Mohd Hairi Mad Shah

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pihaknya tetap dengan pendirian dan menjunjung titah Sultan Johor yang mahukan semakan dan pentafsiran penghakiman diteruskan bagi mendapatkan semula kedaulatan Johor.

Iklan
Iklan

Hairi turut menyelar kenyataan bekas Perdana Menteri itu dalam Facebooknya pada Jumaat yang menafikan perkara disebut dalam satu kongres pada Ahad lalu berkaitan tuntutan terhadap Singapura dan Kepulauan Riau.

"Dalam penafian itu, beliau menyalahkan laporan media dan menegaskan tidak pernah meminta supaya Malaysia menuntut semula kedua-dua wilayah tersebut.

Iklan

"Beliau juga menambah kenyataannya ketika itu mahu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia khususnya di Johor begitu bimbang kehilangan batu sebesar meja tetapi tidak pernah menuntut bahagian yang lebih besar.

"Pemuda UMNO Johor beranggapan Tun Mahathir tidak memahami makna dan signifikan tuntutan sebidang tanah dengan kedaulatan sesebuah negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dr Mahathir dalam satu kongres pada Ahad lalu mencadangkan supaya Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura kerana berdasarkan sejarah, ia adalah ‘Tanah Melayu’.

"Seharusnya kita tidak hanya menuntut agar Pedra Branca atau Batu Puteh dikembalikan kepada kita, tetapi kita juga harus menuntut kembalinya Singapura dan Kepulauan Riau kepada Malaysia sebagai Tanah Melayu," ujar Dr Mahathir.

Pada Khamis, Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah berkata, Indonesia menyangkal dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai tidak mempunyai asas undang-undang.

Malah kata Faizasyah, Kepulauan Riau diiktiraf sebagai wilayah Indonesia di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, Mohd Hairi berkata, walaupun Dr Mahathir beranggapan Batu Putih atau Pedra Branca hanya sebesar meja, tetapi Pemuda UMNO Johor berpendirian, itu adalah lambang kedaulatan dan amat malang jika tiada usaha untuk memperjuang atau menuntutnya.

Katanya, Dr Mahathir juga mendakwa kehilangan Batu Puteh adalah kesilapan kerajaan Johor dan menafikan pulau itu milik Johor.

"Kata beliau sekiranya penafian itu tidak dibuat, tidak akan ada pertikaian sekarang. Persoalannya di sini, jika benar pun kerajaan Johor sebelum ini membuat penafian berkenaan status pulau itu, adakah satu 'dosa besar'?

"Kerajaan Johor atau Persekutuan hari ini membuat tuntutan dan semakan jika ada dokumen atau bukti sokongan yang boleh diguna pakai atau mencabar keputusan sebelum ini," soalnya.