Pesakit kanser limfoma rindu nak ke sekolah

Iklan
Thirosini sering menyatakan hasrat kepada ibunya untuk bersekolah.

KUANTAN - Seorang pelajar tingkatan dua tidak mampu menghadiri sesi persekolahan selepas kesihatannya semakin merosot sejak disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga pada 2016.

K Thirosini, 14, yang sudah dua tahun tidak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu mengakui sudah beberapa kali meminta kebenaran ibunya, A Mariyamah,45, untuk ke sekolah.

Iklan
Iklan

"Bila dah lama tak sekolah buatkan saya rindu kawan- kawan. Saya nak rasai suasana belajard dan jumpa kawan.

"Tapi saya tahu ini ibu tak mampu untuk penuhi keinginan saya disebabkan kesihatan saya tak menentu sampaikan terpaksa dimasukkan ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Seri Setali, hari ini.

Iklan

Sementara itu, Mariyamah berkata, Thirosini terpaksa mengambil cuti sakit bukan hanya kerana tahap kesihatannya malah perlu menghabiskan rawatan kimoterapi.

"Dia memang selalu minta saya hantar dia pergi sekolah tetapi tak boleh sebab keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Iklan

"Dia cakap rindu hendak belajar, jumpa kawan-kawan, bermain badminton dan larian di sekolah. Saya terpaksa pujuk dia supaya melupakan sementara hasrat itu," katanya.

Thirosini bersama keluarganya menerima kunjungan wakil pejabat ADUN Semambu.

Sebelum itu, Thirosini menerima kunjungan wakil dari pejabat ADUN Semambu yang diketuai Pegawai Khas ADUN Semambu, Chan Chun Kuang.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata, penyakit kanser itu mula dikesan ketika anaknya berusia 11 tahun selepas mengalami bengkak di bahagian leher.

"Thirosini menunjukkan bengkak itu kepada saya dan saya bawa dia ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan. Selepas beberapa ujian dilakukan, doktor sahkan dia menghidap kanser limfoma pada tahap tiga.

"Mula-mula tahu memang terkejut sebab anak saya seorang yang aktif. Saya amat sedih bila dia ada penyakit ini sebab keluarga saya tak ada sejarah menghidap kanser," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sehingga kini dia tidak menerima sebarang bantuan dari mana-mana pihak dan hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatannya dan suami yang bekerja sebagai pemandu jengkaut.

"Permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibuat Januari lalu, tapi masih belum ada maklum balas.

"Saya amat harapkan bantuan orang ramai untuk mengurangkan beban kami sekeluarga untuk menampung perbelanjaan dan keperluan harian serta kesihatan anak saya ini," katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin memberi bantuan kepada Thirosini boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional Mariyamah (0611529000341608) atau hubunginya di talian 0111-2125326.