SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengeluarkan sebanyak 408 notis bernilai RM 222,800 untuk pelbagai kesalahan berkaitan larangan merokok di restoran dan tahap kebersihan di premis tersebut.
Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, tindakan tersebut diambil menerusi operasi khas bersepadu ke 205 premis makanan di Kajang, Bangi dan kawasan sekitarnya pada Rabu dan Khamis.
Menurutnya, bagi menguatkuasakan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pada Rabu dan Khamis.
Menurutnya, seramai 106 pegawai daripada pelbagai jabatan di JKNS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat dan semua PKD di negeri tersebut.
"Bagi penguatkuasaan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, sebanyak 37 premis makanan ditutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan selama tempoh 14 hari dan 283 notis kesalahan dikeluarkan dengan tawaran kompaun bernilai RM192,900.
"Bagi penguatkuasaan PPKHT 2004, sebanyak 125 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan tawaran kompaun bernilai RM30,900," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dr Sha'ari memaklumkan tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil jika pihak yang diberi notis atau ditawarkan kompaun berkenaan tidak menjelaskan bayaran dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Ujarnya, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun bagi kesemua kesalahan.