SEREMBAN - Proses penamaan calon PRK DUN Rantau hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingani.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata penyokong PH dan BN juga mematuhi arahan polis.
"Proses penamaan calon telah selesai dengan jayanya. Daripada sudut keselamatan, pihak polis telah membuat kawalan yang amat baik. Walaupun ada berlaku sedikit 'perang mulut' antara penyokong kedua-dua parti tetapi polis telah dapat meredakan keadaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau juga berpuas hati dengan pegawai dan anggotanya serta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga petugas media yang telah memberikan komitmen yang baik dalam memastikan PRK itu berjalan lancar.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S. Streram yang mewakili PH, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili BN dan dua lagi calon bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 April sebagai hari mengundi, manakala 9 April sebagai hari mengundi awal. -Bernama