MPN teruskan peranan sebagai badan penasihat kerajaan: Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin (dua,kanan) menyerahkan replika lembu korban kepada ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal (dua,kiri) sebagai simbolik penyerahan lembu korban di dalam kawasan Parlimen Pagoh pada Hari Raya Aidiladha tahun ini. -Foto Bernama

PAGOH - Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan terus berperanan sebagai badan penasihat kepada kerajaan terutama ketika negara berdepan isu membabitkan kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan sentiasa memberi pandangan dan buah fikiran, namun ia terserah kepada kerajaan sama ada untuk menerima cadangan tersebut atau sebaliknya.

Iklan
Iklan

Bekas Perdana Menteri itu berkata baru-baru ini, pihak MPN ada berbincang bersama tokoh dan pakar ekonomi berkenaan isu inflasi dan kenaikan harga makanan global serta jaminan keselamatan makanan untuk jangka masa pendek dan panjang.

"Susulan itu, MPN mencadangkan kepada kerajaan agar mempunyai strategi jangka pendek untuk mengeluarkan hasil bahan asas seperti makanan, ternakan dan lain-lain dengan menggunakan cara yang tersusun.

Iklan

"Begitu juga dengan jangka panjang, semua perlu bersedia, kita sudah memberi idea," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis meraikan bakal haji dan penyerahan lembu korban Parlimen Pagoh di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keluhan rakyat berhubung isu kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini.

Iklan

Dalam pada itu, Muhyiddin menyambut baik bantuan tunai tambahan di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang yang diumumkan kerajaan pada Rabu lepas.

Sementara itu, mengulas mengenai jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin, Muhyiddin berkata perkara itu diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan.

Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sebagai Menteri jika diarah berbuat demikian oleh Perdana Menteri. - Bernama