Calon STPM derita kanser

Iklan
Nor Asmira yang menderita penyakit kanser payudara ditemani bapa mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan menduduki peperiksaan STPM Ogos nanti.

RANTAU PANJANG -"Bila penyakit itu menyerang, saya hanya mampu terbaring di atas katil dan terpaksa ponteng sekolah," itu luahan seorang remaja yang menderita penyakit kanser payudara serta bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

Nor Asmira Mohd Nasir, 19, dari Kampung Padang Licin di sini, berkata dia hampir berputus asa apabila berdepan kesukaran untuk mengikuti sesi pembelajaran kerana terpaksa menahan kesakitan

Iklan
Iklan

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang itu berkata, dia mula diserang penyakit itu sejak berusia 15 tahun sehingga menyebabkan dia terpaksa menanggung kesakitan dan sukar untuk menggerakkan tangan.

"Bila penyakit itu menyerang, hendak gerakkan kedua belah tangan pun tidak mampu kerana ia sangat menyakitkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, perasaan menjadi bercampur baur apabila bakal menduduki peperiksaan STPM pada Ogos selain perlu menjalani pembedahan kali kedua Julai ini di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Katanya, emosinya sering terganggu setiap kali memikirkan perkara tersebut.

Iklan

Ujarnya, pembedahan kali pertama dilakukan April tahun lalu di Hospital Pasir Mas dan hanya perlu membayar wang pendaftaran sahaja.

"Untuk kali ini tidak pasti berapa bayaran yang dikenakan, saya bimbang kerana pendapatan ayah yang bekerja sebagai buruh tidak menentu.

"Begitu juga dengan ibu yang hanya berniaga kecil-kecilan di depan rumah untuk menampung perbelanjaan harian," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan kepada remaja berkenaan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad 03-027-034097-1 atas nama Mohd Nasir Hussain.