PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, (Maritim Malaysia) Selangor menahan tiga kru warga Indonesia disyaki ejen laut yang menaiki bot tongkang kayu di perairan Jeram di sini pada Sabtu.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Sivakumar berkata, kesemua individu berusia 28 hingga 59 tahun itu ditahan pada jam 1.16 pagi.
Iklan
Iklan
"Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia telah mengesan satu bot mencurigakan sedang bergerak di perairan Pulau Angsa menuju ke Sungai Janggut pada jam 11.38 malam Jumaat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sivakumar berkata, bot Perkasa 35 yang dalam rondaan bergerak ke lokasi untuk mengesan dan memintas sasaran.
"Pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan dua kru warga Indonesia tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," ujarnya.
Beliau berkata, Bot serta tiga suspek warga Indonesia itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.