KUALA LANGAT - Pegawai-pegawai Daerah di seluruh Selangor diingatkan agar bersiap sedia bagi menghadapi bencana banjir pada bulan Oktober dan November depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut meminta agar projek-projek tebatan banjir dapat dilaksanakan pada kadar segera sebelum tempoh berkenaan.
Menurutnya, perkara tersebut diingatkan ketika Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada Rabu lalu.
"Saya minta hal itu (pelaksanaan projek tebatan banjir) dipercepatkan kerana kemungkinan (banjir) berlaku pada bulan Oktober atau November.
"Jadi kita ingin tumpu kepada persediaan jabatan dan alatan serta protokol jika berlaku (banjir).
"Pada masa sama, saya mengingatkan agar semua projek tebatan banjir yang diluluskan dalam belanjawan termasuk pemulihan pasca banjir pada tahun lalu dapat dilaksanakan segera," katanya ketika sidang akhbar pada Siri Kedua Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, sebanyak 38 keluarga terdiri daripada 151 mangsa dilaporkan terjejas dalam kejadian banjir kilat di daerah Kuala Langat dan Klang.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, bagi daerah Kuala Langat, hujan berterusan sejak jam 2 pagi mengakibatkan kawasan di Telok Panglima Garang dinaiki air secara mendadak.