Segerakan konsultasi Akta Pendanaan Politik rentas parti

Iklan
Wan Saiful Wan Jan

SHAH ALAM - Konsultasi dengan parti-parti politik mengenai Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan supaya draf akta tersebut boleh dikongsi dengan semua pemegang taruh dan dimuktamadkan untuk dibawa ke Parlimen.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pendanaan politik tanpa peraturan dan kawalan akan mewujudkan risiko tinggi berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

Iklan
Iklan

"Banyak cerita-cerita mengenai penyaluran wang kepada orang politik yang berlaku secara tidak telus.

"Jika tiada undang-undang, maka masalah ini akan berterusan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Wan Saiful berkata, pelbagai usaha untuk mewujudkan akta berkaitan pendanaan politik telah dimulakan.

Beliau sendiri merupakan salah seorang ahli dalam jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu, yang ditugaskan mengkaji mekanisme menyelia pendanaan politik.

Iklan

"Draf yang kami sediakan sudah cukup baik untuk dijadikan asas kepada langkah seterusnya. Saya juga merupakan ahli jawatankuasa Electoral Reform Committee di bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2018-2020.

"Laporan yang kami sediakan adalah terperinci dan mengandungi banyak idea boleh disalin sahaja untuk pelaksanaan," ujarnya.

Saiful menambah, beliau pernah mencadangkan agar ditubuhkan sebuah kumpulan rentas parti (All Party Parliamentary Group - APPG) mengenai pendanaan politik, kerana berdasarkan pengalamannya dengan APPG di Parlimen Westminster, United Kingdom, ia adalah cara pantas untuk mendapatkan 'buy-in' parti-parti politik.

Bagaimanapun, cadangannya pada masa itu dipandang sepi kerana Malaysia belum biasa dengan konsep APPG.

"Walaupun agak sejuk pada mulanya, Alhamdulillah kini sudah ada beberapa APPG dan salah satunya ialah mengenai pendanaan politik.

"Dalam kata lain, kawal selia pendanaan politik ini tidak perlu perbincangan terlalu panjang kerana proses perbincangan telah lama dilaksanakan. Idea-idea penting mengenainya telah pun dibahaskan.

"Isu yang tinggal ialah, adakah kerajaan ada political will atau tidak untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan," soalnya.