Maritim Terengganu kesan nelayan hilang

Iklan
Op Carilamat digerakkan bagi membantu mengesan nelayan hilang dipercayai terjatuh ke laut dalam kejadian awal pagi Sabtu.

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang nelayan hilang dipercayai terjatuh dari bot kira-kira enam batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mangsa, Mohd Farhan Mohd Zaki, 20, dilaporkan tidak berada di dalam bot dan dipercayai terjatuh dalam kejadian awal pagi Sabtu.

Iklan
Iklan

"Pemuda berasal dari Bachok, Kelantan itu dikhuatiri jatuh laut selepas disedari tidak berada di bot nelayan tersebut semasa bot berkenaan merapati ke jeti Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Kambing, di sini.

"Maritim Malaysia mengerahkan 20 anggota serta sebuah kapal peronda bagi menggerakkan Op Carilamat untuk mengesan mangsa di lokasi tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, usaha mencari mangsa turut diibantu masyarakat setempat dan bot nelayan tempatan dengan radius pencarian meliputi kawasan lima batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

Selain insiden tersebut, Muhammad Suffi berkata, Maritim Malaysia Terengganu turut menerima laporan bot fiber bersama empat mangsa karam berhampiran muara Kuala Terengganu ketika dalam perjalanan pulang dari mencandat sotong sekitar jam 11.30 malam, pada Jumaat.

Iklan

"Kesemua mangsa berusia lingkungan 37 hingga 54 tahun ditemui selamat setelah hanyut dibawa arus di sekitar perairan Chendering.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan lanjut,"katanya.

Muhammad Suffi berkata, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.