Kasma Daniel tawan Litar Terengganu

Iklan
Kasma Daniel

KASMA Daniel Kasmayudin dari Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor meraih kemenangan di Litar Permotoran Terengganu bagi kategori CP150 dalam pusingan keempat Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix.

Kasma yang memulakan perlumbaan di grid ketiga selepas mencatatkan masa 48.944s di sesi Superpole menampilkan strategi mantap dalam perlumbaan apabila mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga dan ke atas walaupun dicabar pelumba lain.

Iklan
Iklan

Kemahirannya terserlah apabila mengekalkan momentumnya sepanjang tujuh belas lap sebelum mengorak langkah ke kedudukan kedua untuk menguasai perlumbaan tersebut.

Persaingan kategori CP150 bertambah hebat pada lap terakhir di antara Kasma dan Nazirul Izzat Md Bahauddin, rakan sepasukannya yang menduduki tempat pertama pada ketika itu.

Iklan

Pada selekoh terakhir, Kasma menyambar peluang untuk mengambil alih tempat Nazirul dan berjaya menguasai perlumbaan tersebut sekali gus menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 16:30.494s.

Menurut Kasma,"Bagi saya, litar ini tidak begitu teknikal. Saya hanya mengekalkan momentum saya sepanjang perlumbaan agar kekal di tempat ketiga teratas. Pada lap terakhir, saya mendapat peluang untuk menguasai tempat pertama dan terus mengambilnya."

Iklan

Tempat kedua menjadi milik Nazirul Izzat Md Bahauddin dengan catatan masa 16:30.915 manakala ketiga pula menjadi milik pelumba Terengganu, Ahmad Afif Amran dari Petronas Sprinta Yamaha- CKJ Racing dengan catatan masa 16:30.943s.

Sementara bagi kategori CP125 pula, Md Fareez Afeez Abd Rahman dari YY Pang Yamaha Racing berjaya meraih tempat pertama.

Ini merupakan kejayaan yang pertama bagi Fareez untuk musim ini dan beliau yang menduduki tempat kelapan keseluruhan selepas perlumbaan akhir pusingan ketiga berjaya memaparkan kebolehannya untuk bersaing dengan hebat.

Fareez menampilkan strategi yang hebat apabila berjaya mempertahankan kedudukannya di tempat pertama sepanjang perlumbaan walaupun dicabar pelumba lain yang tidak kurang hebat bagi menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 13’03.786s.

Menurut Fareez,"Strategi saya hanyalah untuk kekal konsisten sepanjang perlumbaan. Saya berikan perhatian sepenuh dan sentiasa memerhatikan masa agar saya dapat mempertahankan kedudukan saya. Saya berterima kasih kepada pasukan saya yang telah bertungkus-lumus untuk kejayaan ini.”

Tempat kedua menjadi milik Md Haziq Md Hamdan dari Honda KC Racing dengan catatan masa 13’04.709s. Walaupun Haziq mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan, beliau tidak dapat mampu mempertahankan pencapaiannya pada perlumbaan akhir.

Tempat ketiga milik Md Syafiq Rosli dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 13’04.820s.

Kategori Kategori Wira KBS, menyaksikan penguasaan Md Danish Aiman Zamrul dari Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing yang mengungguli kategori tersebut dengan catatan 10’42.974s.

"Saya bersyukur dapat mempertahankan kedudukan saya dari lap pertama sehingga yang terakhir. Saya tidak mempunyai strategi yang khusus bagi pusingan ini, namun saya cekal untuk terus konsisten sepanjang perlumbaan. Saya hanya"play-safe” sepanjang perlumbaan dan ini telah membuahkan hasil," ujar Danish.

Tempat kedua dan ketiga disambar rakan sepasukan Danish, Md Adam Haikal Jahar dan Md Syamil Amysar Md Iffende yang menyaksikan masing-masing mencatat 10’45.880s dan 10’51.798s.