6 saintis muda wakili Malaysia di Mesyuarat Nobel Laureate ke-71

Iklan
Barisan enam saintis muda yang mewakili Malaysia di Mesyuarat Nobel Laureate ke-71 yang akan berlangsung di Lindau, Jerman mulai hari ini sehingga 1 Julai ini.

SHAH ALAM - Enam saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate ke-71 yang akan berlangsung di Lindau, Jerman bermula pada Ahad sehingga 1 Julai ini.

Mesyuarat yang akan dilaksanakan secara fizikal itu turut disertai kira-kira 600 saintis muda lain dari seluruh dunia.

Iklan
Iklan

Enam saintis muda yang mewakili Malaysia terdiri daripada Dr Enis Nadia Md Yusof dari Universiti Sains Malaysia; Dr Goh Choon Fu (Universiti Sains Malaysia); Dr Nur Azzalia Kamaruzaman (Universiti Sains Malaysia); Dr Oh Wen Da (Universiti Sains Malaysia); Dr Sazlinda Kamaruzaman (Universiti Putra Malaysia) dan Dr Low May Lee dari International Medical University Malaysia (IMU).

Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail berkata, Malaysia ketika ini telah menghantar 81 saintis muda mengambil bahagian dalam mesyuarat berkenaan sejak ia mula diperkenal pada tahun 2004.

Iklan

Beliau berkata, mesyuarat tersebut merupakan platform terbaik kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) negara, bagi membina jaringan bersama saintis terbaik di peringkat antarabangsa.

"Selain dapat bertemu dengan Pemenang Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat ini juga mendedahkan mereka kepada contoh teladan (role model) saintis serta memperkenalkan penyelidikan saintis muda kita kepada mereka dan seterusnya mungkin membuka peluang untuk bekerjasama dengan saintis berkenaan di makmal bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Tambahnya, Mesyuarat Nobel ke-71 tahun itu didedikasikan untuk bidang kimia dengan dianggarkan sejumlah 35 pemenang Anugerah Nobel akan menyertai mesyuarat tersebut dengan membentangkan penyelidikan serta berkongsi pengalaman mereka bersama semua peserta.

"Untuk makluman juga, pencalonan wakil Malaysia bagi Mesyuarat Nobel ini dibuka kepada semua saintis muda institusi pengajian tinggi awam dan institusi pengajian tinggi swasta seluruh negara setiap tahun yang dikendalikan oleh agensi seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu Akademi Sains Malaysia,” katanya.

Selain itu katanya, sebanyak 25 pencalonan telah diterima bagi tahun ini, yang mana saringan awal dilakukan ASM dan seterusnya diputuskan ahli jawatankuasa Mesyuarat Nobel untuk pemilihan.