Isteri maut, suami patah tangan motosikal berkuasa tinggi terbabas

Iklan
Motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri terbabit dalam kemalangan di Bukit Bunga, Tanah Merah pada Sabtu. - Foto ihsan PDRM

TANAH MERAH - Seorang suri rumah maut manakala suaminya patah tangan dan cedera pada badan selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki terbabas ketika mengelak sebuah kereta di lampu isyarat di Kilometer (KM) 80.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli di Bukit Bunga, di sini pada Sabtu.

Kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi mengorbankan Sharipah Saad, 48, yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, mangsa membonceng motosikal jenis Kawasaki GTR1400 ditunggang suaminya, Asmiran Dahari, 50, dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Terengganu.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, dipercayai sebuah kereta nombor tidak pasti yang berada di hadapan motosikal membrek kerana sampai di lampu isyarat menyebabkan penunggang motosikal mengelak ke kiri dan terbabas ke bahu kiri jalan.

Iklan

"Akibatnya, pembonceng jatuh dari motosikal dan muka tersembam ke atas permukaan jalan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.

Menurutnya, pasangan suami isteri yang mengalami kecederaan itu kemudian dibawa ambulans ke Hospital Jeli untuk mendapat rawatan.

Iklan

"Pada jam lebih kurang 2.30 petang, pembonceng tersebut disahkan meninggal dunia di Hospital Jeli.

"Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang gagal menjaga jarak ikutan dengan kenderaan sehingga menyebabkan hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.