JOHOR BAHRU - Kerajaan digesa melakukan perbincangan dengan Singapura berhubung isu larangan kemasukan kenderaan asing sekiranya mempunyai saman ke republik itu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkara itu perlu dielak memandangkan kedua-dua negara mempunyai hubungan yang baik sejak sekian lama selain hanya akan membawa kerugian terutama kepada rakyat negara ini yang mencari rezeki di sana.
"Terdapat ratusan ribu rakyat di sini, di Johor Bahru atau Pasir Gudang hari-hari berulang ke sana untuk bekerja, jadi jika sebahagian daripada mereka mempunyai masalah ini, ia hanya akan merumitkan keadaan.
"Sampai satu masa, rakyat di sini pula akan meminta kerajaan melakukan perkara yang sama kepada Singapura seperti sekat air atau sebagainya, akhirnya berlaku kedinginan antara kedua-dua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perasmian Persatuan Dinamik Aktif Lindungi Alam Johor, di Taman Bukit Kempas, di sini, hari ini.
Hassan berkata, pihaknya juga berharap desakan ini dapat didengari negara republik itu selain mahu pihak terbabit tidak mudah terus mengambil tindakan satu pihak sahaja.
"Untuk negara yang sudah berjiran sejak sekian lama, perkara ini perlu dielakkan. Lebih elok jika kita elakkan persengketaan dan berbincang mencari solusi. Jadi saya menyeru kerajaan terlebih dahulu membuat perbincangan lebih teliti," katanya.
Sebelum ini, media malaporkan Singapura mungkin tidak membenarkan lagi kenderaan asing yang mempunyai sejumlah denda yang belum dijelaskan bagi kesalahan trafik, parkir atau pelepasan asap kenderaan memasuki republik itu, mulai 1 April.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, baru-baru ini, Hassan memberitahu keadaan sudah bertambah baik dan tiada sebarang pengaduan awam diterima.
"Di Parlimen semalam, saya dimaklumkan keadaan di Pasir Gudang sudah kembali normal. Proses pembersihan dan pemantauan juga berjalan dengan lancar.
"Saya juga dimaklumkan Exco Aminolhuda Hassan akan membuat pengumuman mengenai pembukaan semula sekolah di kawasan-kawasan terjejas," katanya.