Kes ILI dalam negara terkawal, jangkitan biasa

Iklan
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama

REMBAU - Kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) dalam negara pada masa ini adalah terkawal meskipun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, orang ramai terutama ibu bapa tidak perlu bimbang berikutan penyakit tersebut adalah jangkitan biasa dan akan timbul dari semasa ke semasa selain pesakit hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri sahaja.

Iklan
Iklan

"Kes influenza ini akan bertambah dari semasa ke semasa sebab Perintah Kawalan Pergerakan dah tiada, kita mula kurangkan langkah kesihatan awam seperti penjarakan fizikal dan sebagainya, sudah pasti penyakit berjangkit meningkat.

"Itu mungkin selama dua tahun lepas kes penyakit berkenaan menurun sebab kita dikurung di rumah dan ikuti langkah kesihatan awam tertentu, namun apa-apa pun ia masih lagi terkawal dan tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program saringan kesihatan Peka B40 di sini, pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, susulan itu tiada keperluan menutup sekolah pada masa ini selain Pejabat Kesihatan Daerah akan sentiasa membuat penilaian risiko mengenai kes penyakit berjangkit berkenaan.

Khairy turut menjelaskan sekiranya kes penyakit terbabit sudah berada pada tahap membimbangkan setelah penilaian dibuat, maka langkah-langkah tertentu akan dilaksanakan secepat mungkin.

Iklan

"Namun, kes seperti influenza ini kes biasa dan bermusim yang akan datang dan pergi, jadi tidak perlu terlalu risau," katanya.

Jumaat lepas, media melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor mengesan peningkatan kes jangkitan ILI di institusi pendidikan, khususnya sekolah berasrama sejak dua minggu lepas. - Bernama