KUALA BERANG - Harga maksimum baharu ayam yang akan diumumkan esok telah mengambil kira kepentingan pengguna dan golongan peniaga secara seimbang, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.
Katanya, meskipun terdapat kemungkinan berlaku sedikit kenaikan, ia dilihat sebagai situasi menang-menang antara pengguna dan pemain industri ternakan.
"KPDNHEP melalui anggota penguatkuasaannya sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan keberadaan bekalan dan kestabilan harga ayam di pasaran," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Imam Bilal Mukim Cawangan Hulu Terengganu Kali Ke-15, di sini pada Ahad.
Menurut Rosol, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan berhubung segelintir penternak, pemborong dan peruncit mengenakan caj tambahan termasuk upah tangkap, upah potong dan kos plastik sehingga membebankan pengguna.
Katanya, pihak berkenaan mendakwa terpaksa mengenakan caj tambahan itu bagi memastikan kelangsungan perniagaan disebabkan pelbagai kos lain yang terpaksa ditampung pada masa ini.
"Bagaimanapun kita akan siasat lebih lanjut dan tengok daripada beberapa sudut untuk pastikan kebenaran dakwaan mereka," katanya.
Dalam pada itu, Rosol berkata, pihaknya juga sedia maklum dengan kekurangan minyak peket satu kilogram (kg) di pasaran dan pihaknya telah memohon kepada Kementerian Kewangan untuk menambah kuota minyak peket tersebut untuk mengatasi masalah berkenaan.
"Sekarang ini kerajaan bekalkan 60,000 tan minyak masak bersubsidi sebulan dan kita minta tambahan lagi 10,000 tan sebulan untuk atasi masalah rakyat.
"Bagaimanapun ia bergantung kepada kemampuan kewangan negara. Kita harap Kementerian Kewangan akan lihat dengan terperinci permohonan berkenaan," katanya. - Bernama