JERANTUT - Kerajaan Pahang peka dengan situasi yang dihadapi koperasi-koperasi yang berdepan masalah berkaitan hak milik tanah di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menyedari masalah itu, kerajaan negeri telah meluluskan cadangan pemilikan tanah kerajaan kepada koperasi Felda di rancangan Felda di Pahang berkuatkuasa 5 Januari tahun ini.
Menurutnya, kelulusan itu diberikan menerusi Seksyen 76 Kanun Tanah Negara ( Akta 828) atau seksyen 10 Akta Tanah ( Kawasan Penempatan Berkelompok 1960).
"Melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 5 Januari 2022, kerajaan negeri telah meluluskan cadangan pemberimilikan tanah kerajaan di bawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara (Akta 828) atau di bawah seksyen 10 Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.
"Kelulusan itu bagi tujuan tapak bangunan, perindustrian dan pertanian kepada syarikat kerjasama koperasi Felda dalam kawasan penempatan berkelompok, bagi kawasan-kawasan yang telah dibangunkan sahaja," katanya
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis perasmian Hari Koperasi Negara 2022 ( HKN22) Peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Daerah Jerantut pada Ahad.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak, Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi ( SKM ) Cawangan Pahang, Radiatul Fitri Dollah
Wan Rosdy berkata, adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk memastikan perkembangan dan pembangunan pertubuhan koperasi di negeri ini sentiasa berjalan dengan baik.
Tambahnya, dengan adanya pemilikan tanah ini akan meningkatkan lagi jumlah aset koperasi serta dapat membangunkan lagi koperasi Felda di negeri ini.
"Saya juga berharap sasaran yang ditetapkan oleh SKM Pahang, 'Road to RM1 Billion Turnover 2025, tercapai kerana setakat ini mereka sudah pun berjaya capai RM890 juta dan sekarang baru bulan Jun.. jadi untuk dapat lagi RM110 juta tu, tak jadi masalah.
"Berdasarkan rekod Suruhanjaya Koperasi Malaysia, perolehan atau turnover Gerakan Koperasi di Pahang pada tahun lalu iaitu dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021,adalah berjumlah RM860.53 juta sekaligus menjadi perolehan kedua tertinggi di Malaysia selepas Wilayah Persekutuan," katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy juga menegaskan menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk memastikan perkembangan dan pembangunan pertubuhan koperasi di negeri ini sentiasa berjalan dengan baik.
"Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta ringgit pada tahun ini untuk disalurkan kepada Gerakan Koperasi Pahang di mana RM300,000 ringgit untuk tujuan promosi dan RM700,000 untuk tujuan pembangunan sekaligus berharap dapat melonjakkan lagi pendapatan koperasi di negeri ini," ujarnya.