SELEPAS mempamerkan aksi yang kurang memberangsangkan ketika menentang
Melaka United FC sebelum ini di tempat lawan, dua penyerang import baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Gustavo Almeida dan Yashir Pinto tampil berbisa pada aksi menentang Sri Pahang FC dalam aksi Liga super di laman sendiri semalam.
Kedua-dua pemain itu masing-masing berjaya menyumbat satu gol untuk membolehkan NSFC meraih kemenangan mutlak 3-0 sekaligus mengekori rapat pendahulu liga ketika ini, Johor Darul Ta'zim di tangga kedua.
Bagi ketua jurulatih NSFC, K Devan, beliau memuji dengan persembahan yang ditampilkan tonggak serangan itu sambil mengakui agak gembira memandangkan mereka mampu untuk menyesuaikan diri dalam saingan Liga Super dengan pantas.
"Memang kita tunggu masa mereka menjaringkan gol dan malam ini, mereka berjaya buktikan kemampuan masing-masing. Sebagai jurulatih, saya yang memilih mereka, kita tidak membuat teka teki, kita menganalisis seseorang pemain sebelum membawa mereka masuk.
"Kebiasaannya seseorang pemain import baharu memerlukan antara tiga hingga empat bulan untuk sesuaikan diri. Jadi pilihan saya (Gustavo dan Yashir) menepati keperluan pasukan kerana mereka sudah mengenali ramai rakan-rakan lain dalam pasukan ini.
"Kita tahu kebolehan mereka, macam mana mereka dapat menyesuaikan diri dengan pasukan dan bagi saya mungkin itu harapan peminat tapi saya hendak bagi masa saja mereka untuk menjaringkan gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Dalam pada itu, pengendali Sri Pahang FC, Christophe Gamel akur dengan kelebihan dan kehebatan dimiliki NSFC sambil menyifatkan anak buah K Devan itu beraksi dengan baik di semua posisi pasukan.
"Anda boleh lihat lawan kami (NSFC) beraksi dengan baik pada perlawanan ini apabila bahagian pertahanan mereka berjaya menutup ruang serta menyekat setiap serangan Pahang hingga menyukarkan pemain saya melakukan percubaan baik dan tepat.
"Bagaimanapun kami juga bermain kurang baik pada perlawanan ini. Anda boleh lihat pemain kerap kali melakukan kesilapan dari segi hantaran.
"Malah barisan pertahanan juga tidak begitu bagus. Bagaimanapun saya harap mereka bangkit pada perlawanan yang seterusnya,” katanya.