SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar kerajaan memperkasakan penguatkuasaan mengenai penjualan dan pembelian minyak masak peket dengan serta-merta.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, ini kerana terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat berkenaan keberadaan minyak masak peket yang mencukupi di pasaran.
Iklan
Iklan
Menurutnya, dikhuatiri juga golongan bukan sasar mengambil kesempatan untuk membeli minyak masak peket tersebut.
"Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi, sebarang ketirisan dalam memastikan manfaat untuk golongan sasar tidak boleh dikompromi,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Mengulas lanjut, katanya, pihak kerajaan juga perlu memastikan bekalan minyak masak peket bersubsidi mencukupi di pasaran dan penjualannya menepati sasaran.
Pada 22 Jun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, subsidi minyak masak berpeket masih dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini.
Menurut Ismail Sabri, peruntukan subsidi minyak masak tahun adalah jauh lebih tinggi berbanding RM500 juta yang diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion pada 2021.