KEKALAHAN besar skuad bola sepak wanita negara menentang Bangladesh baru-baru ini seharusnya diberi perhatian penuh oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Kekalahan 0-6 di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mohammad Mostafa Kamal, Dhaka, pada Khamis lalu sewajarnya dipandang serius oleh dua badan sukan negara tersebut.
Pada pertemuan kedua, Malayan Tigress menentang Bangladesh untuk perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Dhaka yang berlangsung malam tadi turut menyaksikan skuad kebangsaan masih gagal mencatat kemenangan.
Keputusan seri tanpa jaringan menyaksikan pasukan wanita negara gagal melunaskan dendam ke atas kekalahan memalukan pada Khamis lalu.
Bagi memastikan skuad Malayan Tigress mampu 'mengaum' pada persaingan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Wanita 2022 pada Julai ini di Filipina, persiapan rapi perlu dilakukan sekiranya tidak mahu dijadikan sebagai pasukan belasahan.
Exco Belia dan Sukan Pejuanita Muda Malaysia (Pejuanita Muda), Roziani Maarof berkata, kekalahan kepada Bangladesh baru-baru ini menyaksikan pemain wanita negara seolah-olah tiada keserasian antara satu sama lain.
Katanya, selain bergelut membina gerakan dari bawah untuk mengatur serangan, pasukan kebangsaan dilihat kerap kali hilang penguasaan bola.
"Meskipun perlawanan tersebut hanyalah perlawanan persahabatan dan permulaan awal sebelum mereka melangkah ke kejohanan Piala AFF Wanita 2022 bulan hadapan, namun beberapa persoalan berlegar dalam pemikiran peminat.
"Mengapa pihak pengurusan FAM tidak menyerap masuk bekas pemain yang pernah beraksi di Piala AFF Wanita 2017 dan pemain-pemain muda di dalam skuad kebangsaan? Skuad ini pernah menang 2-1 ke atas Bangladesh di dalam Piala AFF Wanita 2017.
"Pasti ramai yang bersetuju sekiranya pemain daripada skuad wanita kebangsaan 2017 dan pemain muda berpengalaman diserapkan dalam skuad sedia ada kerana ia mampu mengimbangi tempo permainan dan bersesuaian dengan corak bola sepak moden pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu Roziani berkata, sudah tiba masanya buat FAM meletakkan syarat umur untuk pemain senior beraksi dalam skuad kebangsaan.
Menurutnya, pemain senior yang mahu diserapkan dalam skuad kebangsaan hendaklah tidak melebihi usia 30 tahun.
Jelasnya, hal demikian untuk mengelakkan ketidakseimbangan tahap permainan dan jurang kepantasan di antara pemain.
Tegasnya lagi, FAM sewajarnya mengutamakan penilaian prestasi semasa, kecergasan dan kemahiran individu dimiliki pemain, selain membuat persiapan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.
Sebagai persediaan mantap tambahnya, skuad wanita sepatutnya menyertai lebih banyak perlawanan persahabatan dengan negara-negara ASEAN dan kelab bertaraf profesional.
"Pejuanita Muda menggesa Exco Bola Sepak Wanita di FAM untuk mengemukakan idea dan perancangan yang lebih teratur, selain membuat rombakan pengurusan dan memilih barisan jurulatih yang komited untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak wanita.
"Kami sangat berharap agar pasukan Malaysia mampu memberi saingan dan memperbaiki kedudukan pasukan wanita negara di dalam ranking FIFA yang kini di tempat ke-85 dari 181 pasukan di seluruh dunia.
"Selagi mana tiada perubahan dalam pengurusan, maka selagi itu bola sepak wanita seperti hidup segan, mati tidak mahu," katanya.