ATM ketat kawalan sempadan

Iklan
ABU HASAN
KOTA BHARU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperketatkan kawalan di sempadan negara dalam usaha mengekang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan gejala penyeludupan sejajar dengan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 Jun lalu.

Panglima Briged Kelapan Infantri, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee berkata, langkah memperketatkan kawalan di sempadan itu dilakukan termasuk di laluan-laluan secara haram yang digunakan oleh penyeludup dan penjenayah bagi menjalankan kegiatan mereka.

"ATM tidak pernah berkompromi terhadap isu kawalan di sempadan dan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi lain terutamanya polis bagi mengekang atau untuk mengetatkan lagi laluan-laluan masuk secara haram sama ada bagi kegunaan pendatang tanpa izin ataupun penyeludupan barang-barang.

"Setakat ini, sempadan negara berada dalam keadaan terkawal dan ATM sentiasa bersiap siaga pada setiap masa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Anggota Tentera (Perhebat) dan Program Reskilling Upskilling Veteran di Kolej Poly Tech Mara, di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Sektor Latihan Kemahiran dan Keusahawanan (Perhebat), Mohd Zamri Mohd Salim.

Abu Hasan Assha’ari berkata, dalam usaha itu juga, Op Benteng dan Op Wawasan diteruskan membabitkan negeri-negeri di sempadan negara termasuk Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Panglima Briged Kelapan Infantri, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada Pegawai Waran 1, Ismail Ab Ghani.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


"Melalui Op Benteng dan Op Wawasan yang berterusan, banyak kejayaan-kejayaan yang dicapai dalam mengekang penyeludupan dan pencerobohan di sempadan negara.

"Kawalan di sempadan ini terus dilaksanakan sepanjang masa dan bukan sempena pembukaan sempadan itu sahaja selain ATM juga sentiasa menambah baik langkah pengawasan di sempadan negara supaya tidak dibolosi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, sekitar 5,500 anggota ATM menamatkan perkhidmatan pada setiap tahun dengan 75 peratus daripadanya berusia 33 sehingga 42 tahun manakala 30 peratus adalah veteran tidak berpencen.

"Bagi persiapan itu, Perhebat melaksanakan Program Latihan Peralihan selama tiga bulan bagi enam kursus sebagai persediaan persaraan dan perancangan kerjaya kedua untuk mereka menjana pendapatan.

"Pada Januari sehingga Mei tahun ini, seramai 2,927 bakal pesara ATM mengikuti program itu dan akan dipantau selama enam bulan sehingga lima tahun selepas tamat tempoh perkhidmatan,” katanya.