PUTRAJAYA - Malaysia akan berkongsi konsep 'Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera' pada Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 yang akan diadakan Khamis ini di Subang Jaya, Selangor, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
"Malaysia akan menerangkan contoh yang boleh kita lihat bagaimana keharmonian kita wujudkan (dalam masyarakat majmuk) kerana tidak lain dan tidak bukan, mesti berpegang dengan Islam itu sendiri kerana Islam mengajar menghormati orang lain dan kita harap orang lain juga dapat menghormati Islam," katanya.
Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Dwi-Bulanan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini pada Isnin Idris berkata, Liga Dunia Islam (MWL) memilih Malaysia sebagai tuan rumah persidangan itu kerana negara berjaya menonjolkan Islam sebagai satu agama yang harmoni, selamat dan sejahtera dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
"Banyak negara lain minta nak buat (persidangan) tetapi mereka memilih Malaysia kerana dianggap sebagai contoh sebuah negara yang mengamalkan fiqh kehidupan bersama masyarakat majmuk dan berjaya menonjolkan tentang Islam itu merupakan satu solusi yang cukup baik, agama yang damai dan sejahtera," katanya.
Persidangan sehari itu yang menghimpunkan wakil dari 20 negara di rantau Asia, akan berkongsikan tentang konsep kesatuan, keadilan dan keharmonian antara pemimpin Islam dan masyarakat serta membawa mesej penyatuan ummah.
Idris berkata, pada persidangan yang akan turut dihadiri Setiausaha Agung MWL Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa itu, 14 mufti yang mewakili Malaysia akan diberikan peluang berkongsi berkenaan hal-hal fiqh kehidupan bersama dalam masyarakat.
Pada majlis hari ini (Isnin), Idris menyaksikan Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia Shaharul Sadri Alwi menyampaikan Sijil Akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff kerana Jakim melalui Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) berjaya mendapat akreditasi itu setelah menjalani beberapa peringkat penilaian oleh Jabatan Standard Malaysia.
Skop akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017 yang diperoleh itu adalah dalam bidang ujian analisis kimia bagi skop alkohol.
Idris dalam ucapannya berkata, pengiktirafan itu akan melonjakkan lagi nama Malaysia dan Jakim selaku badan pensijilan halal yang unggul di dunia dan dalam masa yang sama membolehkan MyHAC membuat penganalisisan dan pemantauan ke atas produk yang telah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
Usai majlis, Idris melancarkan pula Program Mobiliti Tabung Haji (TH) untuk 2022, yang menyaksikan TH menyumbangkan 40 unit van dwifungsi - untuk digunakan sebagai van jenazah dan van penumpang bagi kegunaan ahli kariah - bernilai RM5.4 juta kepada masjid, surau, pusat tahfiz dan rumah kebajikan terpilih.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin dalam kenyataan medianya berkata, TH telah menyumbang lebih 90 kenderaan dwifungsi kepada masjid, surau, pusat tahfiz serta rumah kebajikan terpilih di seluruh negara sejak diperkenalkan pada 2016. - Bernama