Bekas Ketua Srikandi PKR ditahan polis

Iklan
Siti Aishah sewaktu mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri Pulau Pinang sebelum ini.

SHAH ALAM - Bekas Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail ditahan polis lebih kurang jam 1.40 petang Isnin bagi membantu siasatan berhubung penyebaran satu kandungan video aplikasi TikTok dimuat naik beliau baru-baru ini.

Siti Aishah yang juga bekas Ahli Dewan Negara memaklumkan perkara itu melalui satu mesej aplikasi WhatsApp setelah beliau diiringi polis ke Balai Polis Sungai Senam, Ipoh susulan rumahnya diserbu tiga kenderaan dinaiki pegawai Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis.

Iklan
Iklan

Jelas Siti Aishah, penahanannya itu ada kaitan dengan satu kandungan video TikTok di mana beliau mendakwa terdapat beberapa komoditi dan barang makanan berdepan kenaikan harga mendadak dan pemansuhan subsidi bermula 1 Julai ini.

"Pada jam 1.40 petang, tiga kenderaan, satu daripada SKMM dan dua daripada Balai Polis Sungai Senam (Bahagian Siasatan Jenayah) telah hadir ke rumah saya.

Iklan

"Ketika itu ada ayah saya sahaja. Saya baru lepas menghantar anak ke sekolah sebelum pulang sekitar 15 minit. Mereka telah membuat serbuan ke bilik saya dan mencari peralatan telefon dan video digunakan saya untuk membuat kandungan video Tiktok.

"Telefon dan video itu sudah dirampas dan sekarang saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Senam, Ipoh untuk disiasat. Buat masa ini, saya dituduh dengan dua perkara iaitu atas sabitan kandungan video itu dan kedua adalah berdasarkan laporan polis yang dibuat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terhadap kandungannya di Balai Polis Dang Wangi, tempoh hari.

Iklan

"Saya dibawa dan diiringi polis ke Balai Polis Sungai Senam untuk direkodkan kenyataan berdasarkan dua tuduhan berkenaan," jawab Siti Aishah secara ringkas melalui mesej aplikasi WhatsApp pada Isnin.

Terdahulu, Siti Aishah memuat naik satu kandungan video TikTok berdurasi hampir tiga minit yang menjelaskan jangkaan beberapa harga barangan komoditi dan barang makanan bakal dimansuhkan subsidi oleh kerajaan bermula 1 Julai ini.

Kandungan video itu menjadi tular di media sosial dan menyebabkan beberapa NGO bertindak membuat laporan polis terhadapnya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Lim Boon Chye mengesahkan penahanan Siti Aishah dan menegaskan parti sedang menguruskan khidmat guaman bagi membantu membebaskan beliau.

"Kita masih sedang menunggu penjelasan lanjut daripada pihak polis terhadap penahanan Siti Aishah," ujarnya.