PETALING JAYA - Tidur nyenyak Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terganggu apabila penginapan rumah kongsi mereka diserbu Jabatan Imigresen Selangor, awal pagi tadi.
Operasi dilakukan di Perumahan Jalan Mawar di Kampung Sungai Kayu Ara dan sekitarnya bermula jam 12.45 tengah malam berakhir jam 2.30 pagi secara bersepadu dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, seramai 100 daripada 180 warga asing yang diperiksa ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen. Kesemua berusia antara satu hingga 50 tahun.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan yang ditahan, 45 daripadanya lelaki, 47 wanita, lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan masing-masing terdiri daripada warga Indonesia, India, Pakistan dan Kemboja.
"Operasi hasil aduan awam dan risikan yang telah dijalankan Jabatan Imigresen bagi membanteras kehadiran PATI," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Shukri berkata, ketika serbuan dan pemeriksaan dilakukan kebanyakan penghuni sedang nyenyak tidur dan pasukan operasi terpaksa mengetuk pintu rumah berulang kali sebelum pintu dibuka.
"Kesemua mereka yang ditahan di bawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen dan seterusnya akan di tahan di Depot Imigresen Semenyih.
"Dalam aspek ini juga pihak siasatan akan turut mengesan pemilik premis yang telah menyewakan rumah atau premis mereka kepada PATI ini dan mereka tidak terkecuali dari dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuatkuasa," katanya.
Operasi digerakkan dengan kekuatan seramai 76 pegawai dan anggota Imigresen serta empat pegawai JPN Selangor.