Rosmah sekali lagi cabar pelantikan Sri Ram

Iklan
Rosmah

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi memfailkan permohonan mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah RM1.25 bilion membabitkan projek hibrid solar dihadapinya dan memohon perbicaraan penuh kes itu yang berlangsung sejak 2018, terbatal dan tidak sah.

Rosmah, 70, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 24 Jun lepas menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Iklan
Iklan

Sebelum ini isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah menfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah di sini.

Bagaimanapun permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Iklan

Dalam permohonan terbaharunya, Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat), masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah salah di sisi undang-undang.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa fiat versi pertama yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada 8 Julai 2020, yang sepatutnya ditandatangani oleh Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas pada atau sebelum 15 November 2018, iaitu tarikh pendakwaan ke atas pemohon adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Iklan

Pemohon memohon deklarasi bahawa fiat versi kedua bertarikh 11 Mei 2021 adalah tidak wujud memandangkan Thomas di dalam bukunya - 'My Story: Justice in Wilderness' yang diterbitkan pada 2021 menyatakan pelantikan Sri Ram adalah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad dan bukannya kes solar selain memohon deklarasi bahawa pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu melalui fiat versi ketiga adalah cacat.

Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh bagi kes solar yang berlangsung sejak 15 Nov 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah dan terbatal.

"Oleh itu, saya selaku Orang Kena Tuduh (OKT) hendaklah dilepaskan dibebaskan daripada semua pertuduhan dihadapi di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di dalam kes solar itu," kata Rosmah dalam permohonannya.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah ketika dihubungi berkata, permohonan anak guamnya itu akan didengar pada 30 Jun ini di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi telah selesai dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 7 Julai ini untuk menyampaikan keputusan sama ada Rosmah akan dibebaskan atau disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah itu. - Bernama