S&P Global Ratings menyemak semula prospek penarafan kredit berdaulat jangka panjang Malaysia kepada 'stabil' daripada 'negatif' berikutan ia percaya negara berada pada landasan pemulihan ekonomi yang kukuh berbanding negara lain pada tahap pendapatan yang sama, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, merujuk kepada laporan terkini agensi penarafan global itu mengenai Malaysia.
S&P turut mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang 6.1 peratus pada tahun ini dan 5.0 peratus pada 2023 disokong oleh eksport yang kukuh, harga komoditi dan permintaan domestik yang tinggi berikutan pembukaan semula ekonomi.
Sebagai respons kepada unjuran KDNK sebanyak 6.1 peratus oleh S&P, Tengku Zafrul berkata, ia sejajar dengan jangkaan kerajaan untuk pertumbuhan lebih tinggi pada suku tahun berikutnya dan sejajar dengan anggaran rasmi Bank Negara Malaysia yang lebih tinggi iaitu 5.3 peratus-6.3 peratus.
Pada masa sama, S&P turut mengekalkan penarafan kredit berdaulat mata wang asing 'A-' jangka panjang dan 'A-2' jangka pendek serta penarafan mata wang tempatan 'A' jangka panjang dan 'A-1' jangka pendek Malaysia.
"Prospek stabil itu mencerminkan jangkaan kami bahawa momentum pertumbuhan Malaysia yang stabil dan kedudukan luaran yang kukuh akan kekal dalam tempoh dua tahun akan datang.
"Pada masa sama, kami menjangka persekitaran penggubalan dasar akan menyokong dalam memulihkan penetapan fiskal kepada kedudukan yang lebih kukuh," menurut agensi penarafan itu dalam kenyataan.
S&P menyatakan pihaknya mungkin menaikkan penarafan ke atas Malaysia jika hasil fiskal mengatasi unjurannya.
"Ini akan dapat dilihat daripada stok hutang bersih yang merosot di bawah 60 peratus daripada KDNK atau pembayaran faedah kurang daripada 10 peratus daripada hasil kerajaan am," katanya.
Mengenai perkara ini, Tengku Zafrul berkata, kerajaan kekal komited sepenuhnya terhadap penyatuan fiskal dan memastikan kemampanan fiskal.
Disokong oleh pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat, bertujuan untuk meningkatkan asas hasil negara, kerajaan akan meneruskan landasan penyatuannya secara berperingkat dan strategik berikutan pemulihan menjadi lebih kukuh.
Ini akan mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi jangka panjang.
Antara usaha utama ke arah ini ialah cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal pada akhir 2022.
Bagaimanapun, S&P berkata, Malaysia dijangka menyaksikan penarafannya diturunkan jika pertumbuhan ekonomi mencatatkan kemerosotan yang berpanjangan yang mengurangkan trend pertumbuhan dalam KDNK sebenar per kapita kepada paras sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang setara.
"Tekanan penarafan penurunan juga boleh meningkat jika kestabilan politik di Malaysia merosot dan penggubalan dasar menjadi kurang dapat dijangka dengan ketara," menurut S&P. - Bernama