MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan menyemak semula sasaran tujuh emas negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 susulan pemain skuasy wanita S Sivasangari yang disasarkan membawa pulang emas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Ahad.
Timbalan ketua kontinjen negara, Gerard Monteiro berkata, pemain nombor satu negara itu hanya dijangka kembali turun ke gelanggang selepas dua atau tiga bulan, sekali gus tidak dapat beraksi pada temasya sukan itu yang dijadual bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Katanya, keadaan pemain itu kini stabil dengan boleh mengerakkan tangan dan kaki serta boleh memberi respons terhadap rawatan.
"Ini petanda baik," katanya kepada pemberita selepas melawat pemain itu di Hospital Putrajaya bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, pada Isnin.
Sivasangari, yang merupakan pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, dilaporkan mengalami kecederaan kepala dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada jam 3.46 pagi, Ahad.
Pemain berusia 23 tahun itu merupakan penumpang kereta Proton Saga BLM yang terbakar 90 peratus selepas melanggar sebuah lori muatan satu tan sebelum terbabas dan terbakar.
Monteiro, yang juga Presiden Persatuan Skuasy Malaysia, berharap pemain wanita seperti Rachel Arnold, Aifa Azman dan pemain lelaki Eain Yow Ng dapat disandarkan pingat namun buat masa ini pihak kejurulatihan sedang meneliti kemungkinan pengganti Sivasangari.
"Bagaimanapun, kita akan muktamadkan perkara ini sebelum tarikh tutup untuk penukaran atau penyenaraian baharu atlet pada Rabu ini," katanya.
Sivasangari, yang sedang bercuti semester dari Universiti Cornell di Amerika Syarikat, menjadi harapan negara dalam acara perseorangan dan beregu di Birmingham. - Bernama