KUANTAN - Pihak sekolah menyambut baik usaha Rasuah Busters menjadikan anak-anak muda sebagai golongan sasar dalam memberi kesedaran mengenai jenayah rasuah.
Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Mohd Zaki Ab Rashid berpandangan, kempen itu perlu dipergiatkan di peringkat akar umbi iaitu bermula dari sekolah.
Menurut beliau, kempen itu boleh dilakukan sama ada dalam bentuk penerangan khas atau pun kuiz yang menjadi daya tarikan pelajar untuk mengikutinya dengan lebih tekun.
"Penerangan mengenai bahaya jenayah rasuah ini perlu diadakan dalam bentuk paling mudah dan ringkas supaya mereka faham apa itu rasuah.
"Pelajar ini (Sekolah Menengah) adalah golongan peringkat pertengahan. Mereka akan membesar dan keluar dari sekolah serta berada dalam dunia kerjaya, yang tentunya akan berdepan dengan pelbagai cabaran.
"Sebab itu program ini perlu dipergiatkan di peringkat pertengahan kerana mereka hanya nampak ialah wang ringgit, kalau gelap mata dan terjebak, nescaya lima hingga 10 tahun lagi, negara kita akan rosak,” katanya ketika ditemui pada kunjungan hormat kru Rasuah Busters ke MRSM Kuantan sempena Konvoi#RasuahBusters ke Pahang pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.
Beliau menjelaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan perlu turut melaksanakan kempen ini di peringkat akar umbi.
Katanya, jika langkah segera tidak dilakukan, Malaysia akan berada dalam situasi meruncing dan menjadi bom jangka sedangkan negara berpotensi untuk mencapai kemajuan.
"Formula terbaik adalah dengan memberi kesedaran akar umbi dengan bermula di peringkat sekolah.
"Seterusnya kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara berkala dan ia akan memberi kesan lebih positif pada masa akan datang,” katanya.