RAUB - Seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya melanggar belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 353 Jalan Kuala Lumpur – Kota Bahru dalam kawasan stesen minyak di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 83 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 46 tahun dari arah Pekan Raub menghala ke Kuala Lumpur.
"Apabila sampai di tempat kejadian treler telah masuk ke simpang kanan dan berhenti (dalam keadaan parkir) di dalam kawasan stesen minyak tersebut bagi mengisi minyak sebelum kereta yang dipandu oleh mangsa datang.
"Kereta mangsa dari arah Kota Bahru (Jalan Lipis) melanggar bahagian belakang tayar sebelah kiri treler. Mangsa maut di lokasi kemalangan dan mayatnya dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurut Kama Azural, pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan rakaman percakapannya telah diambil selain dia dibawa ke balai polis untuk ujian air kencing.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.