Festival Majestic Johor sasar 500,000 pengunjung

Iklan
Raven (belakang, lima dari kiri) bersama Suhairi Hashim (belakang, lima dari kanan) bergambar dengan Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semulajadi Johor pada sidang akhbar di Festival Majestic Johor di Jotic Johor Bahru pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Festival Majestic Johor yang bakal dianjurkan di Puteri Harbour, Iskandar Puteri pada September ini bakal menampilkan pelbagai tarikan dan keunikan pelancongan serta warisan 10 daerah di negeri ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar berkata, kenderaan yang digunakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sewaktu Kembara Mahkota Johor ( KMJ) juga akan dipamerkan sewaktu festival.

Iklan
Iklan

Katanya, festival julung kali diadakan itu dijangka menarik kehadiran lebih 500,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dengan disertai peserta dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Korea.

"Berlangsung selama 11 hari bermula 8 September depan, Festival Majestic Johor akan dijadikan acara tahunan tetap kalendar pelancongan Johor dalam usaha merancakkan semula sektor pelancongan.

Iklan

"Penganjurannya mampu menjadi platform yang menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi tempatan melalui impak rantaian daripada sektor pelancongan, kebudayaan dan kesenian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Festival Majestic Johor di Bangunan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic) di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim.

Raven berkata pelbagai aktiviti berbentuk persembahan, demonstrasi, pameran pelancongan, jualan pakej pelancongan, sukan, perarakan dan pelancongan kesihatan akan diadakan sepanjang festival.

"Penganjuran festival dalam tempoh yang panjang dapat memberi peluang kepada ramai pengunjung untuk hadir.

"Festival ini merupakan salah satu inisiatif ke arah memperhebatkan sektor pelancongan negeri seterusnya memberi nilai tambah kepada negeri Johor. Ia sekaligus akan menaikkan lagi jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini selepas terkesan akibat Covid-19 sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Suhairi berkata, tujuan festival itu dianjurkan adalah bagi mewujudkan kembali Johor dalam kalendar pelancongan Malaysia.

"Untuk kali pertama penganjuran, kita memilih Iskandar Puteri namun pada tahun akan datang akan melihat lokasi lain yang bersesuaian seperti Mersing, Kota Tinggi atau Muar," katanya.